ARTIKEL

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Kelupu, Bintangor. Foto IPD Meradong.

Penunggang motosikal maut bertembung Hilux

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 8, Jalan Kelupu berhampiran Sungai Gemuan, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, mangsa dikenali sebagai Mohammad Lukman Salleh, 30, dari Rumah Rabaie, Kampung Darul Falah, Bintangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Sibu menuju ke Bintangor sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan kejadian.

“Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux yang bergerak dari arah Bintangor menuju ke Sibu.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux berusia 35 tahun bersama dua penumpang, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Tansli berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU