ARTIKEL

Lokasi kemalangan maut di Jalan Mambong-Sikog-Sariq, berhampiran Penjara Puncak Borneo, Padawan, petang semalam.

Penunggang Motosikal Maut Bertembung Pacuan Empat Roda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Tindakan seorang penunggang motosikal memotong sebuah kenderaan dipercayai mengundang padah apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Mambong-Sikog-Sariq, berhampiran Penjara Puncak Borneo, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William, berkata mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 6.15 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya di laluan berbukit dan berselekoh,” katanya.

Barry menambah, ketika memotong, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun.

Akibat pelanggaran itu katanya, mangsa tercampak ke atas jalan, manakala motosikal yang ditungganginya tercampak ke bahu jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Barry berkata, keadaan permukaan jalan ketika kejadian dilaporkan basah selepas hujan, selain lokasi kemalangan merupakan jalan dua hala yang mempunyai garisan putih berkembar sebagai pembahagi jalan.

Beliau turut memaklumkan semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah ketika kejadian berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU