KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kwong Lee Bank, berhampiran Klinik Tanah Putih, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian yang berlaku sekitar 8.40 pagi itu dipercayai berpunca daripada motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas di permukaan jalan yang licin.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Nissan Almera yang berhenti di lorong kiri ketika menunggu lampu isyarat merah.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Alexson, kematian mangsa disahkan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak kira-kira 9.10 pagi.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik atau mana-mana balai polis berhampiran.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika memandu, khususnya dalam keadaan jalan licin, selain mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan bersama.

