ARTIKEL

MAUT… Lelaki tempatan maut dalam kemalangan di Jalan Green, di sini, awal pagi Selasa.

Penunggang motosikal maut dirempuh MPV

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah MPV yang dipercayai hilang kawalan di Jalan Green, di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku sekitar 1.05 pagi membabitkan penunggang motosikal lelaki berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian.

“Manakala pembonceng wanita berumur 21 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Alexson, kemalangan berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berumur 22 tahun dari arah Jalan Stapok menghala ke kawasan Waterfront hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan tersebut melanggar motosikal jenis Yamaha Lagenda yang datang dari arah berlawanan.

“Siasatan awal mendapati pemandu MPV terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan menyebabkan kemalangan.

“Pemandu MPV terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai atau berbahaya.

“Dalam pada itu, pihak polis turut memohon bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Saundri Govinda Rajoo di talian 011-27549620 / 082-259900 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.

ACP Alexson turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu, terutama pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU