MELAKA: Seorang penunggang motosikal dan anak lelakinya cedera parah dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Lebuh AMJ, Cheng, kira-kira 9 malam tadi.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat, termasuk motosikal dinaiki dua beranak itu.
Penunggang berusia 39 tahun mengalami patah kaki, manakala anaknya berusia 11 tahun cedera di kepala dan telah diintubasi. Pemandu Toyota Hilux berusia 29 tahun pula cedera ringan di muka.
Menurut Bernama, semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka. Ujian saringan dadah dan alkohol terhadap pemandu Hilux didapati negatif, namun sampel darah diambil untuk ujian toksikologi.
Kesemua kenderaan akan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer di Alor Gajah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Rakaman kamera papan pemuka turut dijadikan bahan siasatan.



