KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dua bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah secara berulang, Mei tahun lalu.
Kamar, 32, dari Spaoh, Betong itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, dia mempunyai dua rekod lampau pada 22 Januari dan 20 Februari 2024 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan kali ini dia didakwa mengambil dadah terlarang sekali lagi jenis Methamphetamine dan Amphetamine ketika ditangkap dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching, sekitar jam 1.35 pagi, 28 Mei 2025.
Pendakwaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b) daripada Akta yang sama.
Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Manakala, Seksyen 39C (1)(b) Akta yang sama membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan dia di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, semasa kejadian pihak polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang.
Hasil ujian saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

