KOTA SAMARAHAN: Penyelidikan dan inovasi memberi kesan serta impak terhadap kualiti sistem pendidikan dan warga pendidik khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penyelidikan merupakan salah satu elemen signifikan dalam pembangunan profesionalisme pendidik.
Katanya, ia berupaya meningkatkan kualiti dan kompetensi pendidik dan menerusi penyelidikan, pendidik dapat memperkasakan keperibadian, keintelektualan serta kepimpinan dalam melaksanakan tugas.

“Di samping itu, pendidik juga akan mempunyai kesedaran tinggi untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam usaha mendepani dunia pendidikan yang penuh cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Rasmi Konferensi Penyelidikan Dan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2022 (NCRI 2022) di Dewan Sri Samarahan IPG Kampus Tun Abdul Razak di sini, hari ini.
Harden menambah, kewujudkan data raya dalam bidang pendidikan boleh dimanfaatkan oleh para pendidik dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada pembelajaran digital.



