KUALA LUMPUR: Sarawak mengalu-alukan penyertaan aktif sektor swasta untuk meningkatkan ekosistem dan pengeluaran makanan di wilayah ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Bank Dunia mengunjurkan perkembangan pasaran makanan dan minuman global sebanyak 5.8 peratus setahun daripada AS$17.8 trilion pada 2023 kepada AS$25.5 trilion pada 2030.
Sehubungan itu, menurutnya, keadaan ini memberikan peluang besar kepada mereka yang mengambil bahagian dalam pertanian, terutamanya pengeluaran makanan.

“Justeru, Sarawak mengalu-alukan penyertaan aktif pihak swasta untuk meningkatkan ekosistem dan pengeluaran makanan.
“Ini termasuk pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, yang meningkatkan kecekapan sumber serta meminimumkan kesan alam sekitar melalui penciptaan dan penggunaan teknologi inovatif seperti alat pertanian ketepatan, pembungkusan terbiodegradasi, serta penyelesaian tenaga boleh diperbaharui untuk operasi pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Pembukaan Persidangan Antarabangsa Masa Depan Makanan dan Pertanian 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Jelasnya, kerajaan turut menggalakkan sektor swasta untuk menyediakan sokongan kewangan dan khidmat nasihat teknikal bagi menggalakkan petani mengamalkan amalan pertanian mampan.
“Ini mungkin termasuk menyediakan akses kepada kredit mampu milik dan melabur dalam infrastruktur yang mampan,” ujarnya.
Kerajaan Sarawak, tegas Awang Tengah lagi, mengambil pelbagai inisiatif untuk mencapai aspirasi dalam transformasi pertanian.
“Kita sedang membangunkan kawasan yang ditetapkan untuk pertanian komersial seperti taman pertanian, taman akuakultur dan taman agroteknologi bagi menarik pelaburan swasta dan mempromosikan pertanian dan industri berasaskan makanan.
“Taman-taman ini dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas bagi menyokong industri asas tani.
“Selain itu, Sarawak telah menubuhkan Hab Halal Tanjung Manis yang meliputi lebih 70,000 hektar yang memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian bekalan pengeluaran makanan.
“Hab ini menyediakan peluang pelaburan buat pelabur yang berminat untuk memanfaatkan permintaan global yang pesat dalam produk halal yang mempunyai potensi pasaran dianggarkan sebanyak AS$4.5 trilion menjelang 2030.
“Di samping itu, Sarawak sedang membangunkan rantaian bekalan pertanian yang lengkap untuk memastikan kemampanan industri.
“Kita perlu memastikan bahawa hasil pertanian kita boleh dipasarkan dari ladang ke meja. Oleh itu, Kerajaan Sarawak mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan serta terminal agromakanan,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu menyatakan bahawa sektor pertanian kini merupakan sektor ekonomi yang menguntungkan serta mampu menjana pendapatan lumayan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana, termasuk generasi muda, menceburi bidang pertanian sebagai sumber penciptaan kekayaan.




