MUKAH: Penyertaan pelbagai kaum dalam Perarakan Niti Daun Sempena Pesta Ngiling Bidai memberi contoh terbaik bagi keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, yang juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata semua kaum berganding bahu bagi meraikan perayaan ini dengan semangat perpaduan.
“Walaupun julung kali diadakan di Mukah, namun semangat perpaduan dan kerjasama dapat dilihat melalui penyertaan kaum-kaum yang ada di Mukah.

“Sememangnya, semangat dan kesefahaman seperti ini adalah antara nilai murni rakyat Sarawak yang perlu dicontohi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Ngiling Bidai Mukah Tahun 2024 di Dataran Pehin Setia Raja di sini, hari ini.
Jelasnya, Pesta Ngiling Bidai ini berkonsepkan perarakan kebudayaan, di mana kita dapat melihat keunikan serta kepelbagaian budaya dimiliki rakyat Sarawak.
“Hari ini, kita dapat melihat perkongsian kebudayaan seperti Upacara Miring Niti Daun, Perarakan Niti Daun diiring oleh ‘gendang rayah’ dan persembahan ngajat serta seni kuntau.
“Ini menunjukkan seni budaya dan adat resam masih dipelihara hingga hari ini, dan saya berharap ia dapat diteruskan oleh generasi akan datang,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap pesta ini berjaya mencapai matlamatnya dan dapat memupuk perpaduan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, berkata pesta seperti ini perlu diadakan setiap tahun untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara pelbagai kaum yang ada di Mukah.
Katanya, rakyat Sarawak yang mempunyai sikap perkauman adalah rugi kerana tidak bergaul dengan kaum lain.
Tambahnya, kita perlu mengambil peluang perayaan ini untuk merapatkan silaturahim dan mengeratkan lagi perpaduan antara satu sama lain.
Terdahulu, seramai 4,000 peserta, yang terdiri daripada pelbagai kaum, menyertai Perarakan Niti Daun sejauh 1.2 kilometer yang bermula dan berakhir di Dataran Pehin Setia Raja.
Dalam pada itu, Hanifah turut menyampaikan peruntukan khas kepada Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Mukah, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Mukah dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).
Selain itu, Bakul Kasih Program Ngiling Bidai 2024 dan insentif pelajar anak SIDS Mukah turut disampaikan kepada mereka yang layak.
Hadir sama, Wakil Pengarah Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR), George Yeo, Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh, dan Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip.

