ARTIKEL

Gambar hiasan

Penyiasat Jerman dan Switzerland lumpuhkan rangkaian penggubahan wang haram kripto

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

FRANKFURT: Penyiasat dari Jerman dan Switzerland berjaya melumpuhkan satu rangkaian penggubahan wang haram dalam talian yang melibatkan mata wang kripto, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa pada Isnin mengumumkan bahawa infrastruktur pelayan bagi platform yang dikenali sebagai “Bitcoin mixer” telah dirampas sekali gus menamatkan operasinya.

Mata wang kripto bernilai kira-kira €25 juta (US$29 juta) turut dirampas dalam operasi itu.

Pejabat Pendakwa Raya Frankfurt, Pejabat Pendakwa Raya Cantonal Zurich, Pejabat Polis Jenayah Persekutuan Jerman (BKA) dan Europol terbabit dalam siasatan tersebut, dengan akses terhadap platform diperoleh pada Rabu lalu.

“Operasi ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha antarabangsa memerangi pengubahan wang haram dalam talian yang dijalankan melalui crypto mixers,” kata Naib Presiden BKA, Martina Link.

BKA memaklumkan bahawa platform cryptomixer.io, yang beroperasi sejak 2016, digunakan untuk menyembunyikan aliran kewangan serta membolehkan deposit dan pengeluaran mata wang kripto secara tanpa nama.

Menurut pihak berkuasa, terdapat syak wasangka kukuh bahawa sebahagian besar aset yang ditukar di platform itu berasal daripada kegiatan jenayah.

Pengendali platform tersebut turut disyaki melakukan pengubahan wang haram secara komersial serta mengendalikan sebuah platform perdagangan jenayah.

Di Switzerland, infrastruktur pelayan dan beberapa akaun e-mel dirampas, manakala bahan data turut diambil untuk tujuan bukti. – BERNAMA-dpa

BERITA LAIN

BERITA TERBARU