KUCHING: Penyusunan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar menerusi kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di Sarawak bagi 2026 dijangka mengecilkan skop liputan wakil rakyat, sekali gus memudahkan urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
ADUN Opar, Billy Sujang berkata, cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menamakan semula DUN Opar sebagai DUN Serayan turut menyaksikan jumlah kampung di bawah kawasan berkenaan berkurang daripada 58 kepada 55 kampung selepas penyusunan semula.
Katanya, perubahan itu memberi kelebihan dari segi pentadbiran apabila keseluruhan kawasan DUN Serayan kelak berada dalam Daerah Lundu, berbanding sebelum ini apabila lapan kampung berada di bawah Daerah Bau.
“Kalau kita tengok juga DUN Serayan nanti, keseluruhannya akan berada dalam Daerah Lundu sahaja berbanding dengan yang sedia ada sekarang ini, lapan kampung terletak di bawah Daerah Bau. Lapan kampung terutama sekali kawasan Bratak yang terletak di bawah Daerah Bau.
“Tapi dengan persempadanan semula, daerah sebelum ini juga yang telah pun diluluskan sebelum ini, keseluruhan kawasan Stenggang, Pidilam, dan juga Sepadah dianjak ataupun dialih kepada Daerah Lundu. Jadi bermakna dengan DUN Serayan nanti, keseluruhan kawasan DUN tersebut nanti akan berada dalam Daerah Lundu,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Billy berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya DUN Opar dinamakan semula sebagai DUN Serayan kerana hampir keseluruhan daerah mengundi sedia ada masih kekal dalam kawasan berkenaan.
Namun, dua daerah mengundi iaitu Daerah Mengundi Opar yang merangkumi Kampung Opar dan Kampung Rumih, serta Daerah Mengundi Jugan yang meliputi Kampung Jugan, Kampung Tembawang Sauh dan Kampung Temabang Baru, akan dikeluarkan daripada kawasan DUN berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan sempadan pilihan raya semasa, jumlah pengundi boleh mencecah lebih 20,000 orang, justeru jumlah sekitar 16,878 pengundi bagi DUN Serayan selepas persempadanan semula disifatkan sebagai lebih baik.
Beliau sehubungan itu menyifatkan penambahan 17 kerusi DUN Sarawak sebagai satu anjakan paradigma yang baik untuk Kerajaan Sarawak, khususnya dalam memastikan kawasan dapat diliputi wakil rakyat dengan lebih mudah.
Katanya, skop kawasan liputan yang lebih kecil akan memudahkan wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan.
Billy dalam pada itu berkata, penerimaan terhadap cadangan berkenaan bergantung kepada pandangan rakyat di kawasan tersebut, sama ada menyokong atau membantahnya.
Katanya, pandangan dan cadangan yang dikemukakan rakyat kemudiannya akan dibincangkan dan diperhalusi semula oleh SPR.

