Peragut dibelasah sebelum diserahkan kepada polis

KUCHING: Seorang lelaki dibelasah sebelum diserahkan kepada polis selepas meragut beg seorang wanita, dalam kejadian yang tular di media sosial di sebuah kedai kopi di Jalan Song di sini sekitar jam 9 pagi tadi.

Kejadian berlaku semasa mangsa yang berusia 29 tahun sedang duduk makan, apabila suspek bertindak meragut beg tangannya yang diletakkan di atas kerusi di tepi tempat duduknya.

Mangsa kemudian terus berlari mengejar suspek dan berlaku tarik menarik beg dengan suspek menyebabkannya jatuh terseret sehingga mengalami luka di kaki dan tangan.

Bagaimanapun, suspek yang menunggang sebuah motosikal Yamaha LC kemudian terlanggar sebuah kereta Perodua Myvi dan terjatuh, sebelum orang ramai yang berada di situ membelasah dan menangkapnya.

Mengesahkan kes, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata suspek seorang lelaki berumur 25 tahun, berbangsa Melayu beralamat di Kampung Tabuan Ulu dan tiada pekerjaan.

Katanya suspek juga mempunyai rekod terlibat dengan kesalahan curi dan dadah.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis telah pergi ke tempat kejadian dan menangkap semula suspek yang telah ditangkap oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memuji tindakan orang awam yang telah berjaya menangkap suspek.
Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai supaya menggunakan kekerasan yang minima untuk memastikan suspek selamat ditangkap untuk tindakan lanjut.

Awang Din berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Suspek dibelasah oleh orang awam selepas meragut beg seorang wanita di sebuah kedai kopi di Jalan Song di sini sekitar jam 9 pagi tadi.

Suara Sarawak