ENGKILILI: Kehilangan seorang lelaki warga emas dari sebuah rumah panjang di Tebarong, Lubok Skrang terus menjadi perhatian apabila mangsa masih gagal dikesan meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan secara bersepadu.
Komander Operasi PBK I Yusuf Tamin berkata, mangsa, Igoh Sengaling, 84, dilaporkan keluar dari rumah panjang TR Richard Tawan pada pagi 18 Februari lalu kira-kira jam 7 pagi untuk mendapatkan rawatan dan mengambil ubat di Klinik Skim Skrang.
“Mangsa dipercayai menaiki perahu miliknya sendiri, namun tidak pulang seperti kebiasaan pada hari yang sama.
“Ketiadaan mangsa mencetuskan kebimbangan ahli keluarga sebelum usaha pencarian awal dijalankan bersama penduduk rumah panjang,” katanya dalam kenyataan.
Yusf berkata, kawasan sekitar penempatan, laluan hutan dan tebing sungai disusuri selama dua hari, namun tiada sebarang petunjuk ditemui, menyebabkan laporan polis dibuat pada malam 19 Februari.
Susulan laporan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Betong mengaktifkan operasi SAR dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Seramai tujuh anggota bomba digerakkan dengan sebuah jentera bagi membantu operasi.
“Tumpuan utama pencarian hari pertama tertumpu di lokasi penemuan perahu mangsa yang dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dari pusat kawalan bomba.
“Kawasan itu dianggap sebagai petunjuk penting, sekali gus menjadi titik mula pencarian lebih meluas di darat dan sungai,” katanya.
Tambah beliau, operasi SAR dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi meluaskan liputan pencarian dengan dua kumpulan menyusuri kawasan daratan di seberang sungai berdasarkan laluan yang disyaki dilalui mangsa, manakala satu kumpulan menyusuri Sungai Skrang ke hulu dan hilir.
Katanya, kaedah menjejak turut digunakan dengan memberi tumpuan kepada kesan tapak kaki, ranting patah serta perubahan persekitaran.
“Radius pencarian darat dan sungsi diperluaskan sehingga empat kilometer.
“Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan, mangsa masih belum ditemui.
“Operasi SAR dijangka disambung semula keesokan hari mengikut perancangan pihak berkuasa, sementara keluarga dan penduduk setempat terus berharap agar mangsa dapat ditemui dengan selamat,” katanya.

