KUCHING: Ketika Sarawak melangkah ke arah status negeri berpendapatan tinggi, hijau dan berteknologi maju menjelang 2030, peranan media sebagai penyampai kisah-kisah bermakna menjadi semakin penting dan mendesak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, media perlu terus menjadi wadah utama mengetengahkan naratif yang membina, daripada inovasi dalam teknologi hidrogen, kepada kisah rakyat yang tabah berdepan tekanan kos sara hidup dan keberkesanan dasar awam di Bumi Kenyalang.
“Media bukan sekadar pemerhati dalam perjalanan pembangunan negara, sebaliknya rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam memelihara demokrasi dan membentuk kefahaman rakyat.
“Biarlah platform anda menjadi ruang kebenaran dijulang, maruah dipertahankan, dan harapan terus disemai,” katanya dalam ucapannya pada majlis makan malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 di sini malam tadi.
Dalam era digital yang dibanjiri maklumat dan berita palsu, katanya, tanggungjawab media menjadi semakin kritikal sebagai penjaga integriti dan pembawa cahaya dalam dunia yang semakin kelam dengan kekeliruan.
“Peranan wartawan bukan hanya menyampaikan apa-apa yang berlaku, tetapi menterjemahkan denyut nadi rakyat kepada kefahaman yang membina – menjadi jambatan antara suara akar umbi dengan dasar negara.
“Apabila kebenaran dibanjiri kepalsuan, anda – para wartawan menjadi suar penentu arah,” tegas beliau.
Menyentuh tema persidangan, AI: Mencorak Masa Depan Media dan Dunia Wartawan, Fadillah menekankan bahawa kecerdasan buatan bukan sekadar alat teknologi, tetapi gelombang perubahan yang sedang dan akan terus mencorak dunia kewartawanan.
“AI akan mengubah dunia, termasuk dunia kewartawanan.
“Tetapi persoalannya bukan sama ada AI akan mencorak masa depan — ia pasti akan. Persoalannya; adakah kita akan membentuk AI, atau AI akan membentuk kita?” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa perubahan tidak boleh dielakkan, namun pendekatan ke atas teknologi harus seimbang dengan nilai etika dan pertimbangan kemanusiaan.



