MEMASUKI minggu kedua Ramadan, semakin kedengaran keluhan diluahkan peniaga di bazar Ramadan. Ada yang terpaksa berhenti berniaga disebabkan pendapatan tidak mampu menampung modal harian. Ada yang masih berjuang, mengambil inisiatif lain untuk memastikan perniagaan terus bernafas. Ada juga yang untung disebabkan produk jualan tular. Inilah asam garam yang dilalui peniaga bazar Ramadan setiap tahun.
Punca yang boleh dikaitkan ialah strategi perniagaan, lokasi, harga dan kuasa beli pelanggan. Tinjauan di bazar Ramadan sentiasa sesak setiap hari, tetapi ramai juga datang ‘sekadar singgah’. Membeli ikut kemampuan dan keperluan.
KURANGKAN RUGI
Perkara pertama yang pelanggan cari di bazar adalah produk makanan atau minuman, kemudian harga untuk perbandingan. Cara mudah adalah dengan menjual produk tular – memenuhi permintaan pasaran. Namun persaingan akan berlaku dari segi harga.
Dalam banyak strategi pasaran, terdapat satu istilah popular dalam kalangan peniaga tempatan iaitu penetapan harga pemangsa (predatory pricing) atau bahasa pasar sebagai ‘bunuh’ peniaga yang lain. Strategi licik ini jika disalah guna atau berniat jahat boleh menghancurkan ekosistem perniagaan tempatan. Dari sudut yang lain ia menguntungkan pelanggan dalam jangka pendek.
Persaingan harga ini sangat berkesan untuk produk yang banyak didapati di satu lokasi. Contohnya produk A berharga RM5 dan produk B yang hampir serupa dikurangkan menjadi RM4. Bagi situasi peniaga kecil, perbezaan RM1 cukup membuat pelanggan berfikir dua kali. Secara perbandingan harga sahaja membuatkan pelanggan memilih produk B. Produk A akan bertahan dari segi kualiti dan pelanggan tetap. Boleh jadi produk A ikut untuk kurangkan harga, namun ia juga akan mengurangkan keuntungan. Untuk sesetengah situasi boleh membawa kerugian sekiranya tidak mencapai sasaran jualan tertentu.
Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif ini, harga murah mungkin menggembirakan hari ini, tetapi jika ia membunuh persaingan, esok harga itulah yang akan mencekik pengguna sendiri.
KESAN KEPADA PENIAGA
Sekiranya produk tersebut jenis ‘sedia untuk dimakan’ atau tidak tahan lama, penurunan harga secara ketara boleh mendatangkan persepsi yang lain. Dibimbangi produk dilabel sebagai produk tidak berkualiti atau mudah basi. Lain pula situasi untuk ‘harga lelong’, mungkin peniaga berniat untuk habiskan jualan sedia ada agar tidak berlaku pembaziran.
Harga boleh berubah-ubah mengikut situasi seperti pengaruh permintaan, musim dan lokasi. Harga nasi putih di warung tidak sama dengan harga nasi putih di restoran, walaupun beras yang sama. Semakin hampir waktu berbuka juga, peniaga mula menurunkan harga untuk menarik minat pelanggan.
Persaingan harga dibenarkan dalam ekonomi kerana ia adalah satu norma yang sentiasa berlaku dalam pasaran. Namun, persaingan harga ini mestilah berlaku dalam situasi yang sihat dan tidak akan menzalimi peniaga-peniaga yang lain dan seterusnya merosakkan pasaran.
Peniaga yang terkesan hanya mampu bertahan agar tidak rugi atau sekadar balik modal. Malah, ada yang tetap berniaga walaupun rugi. Cukup untuk meneruskan perniagaan, gaji sendiri dan gaji pekerja. Memastikan pekerja terus menerima upah bekerja untuk persediaan hari raya.



