Perangi dadah di pedalaman

DARO: Kerajaan Sarawak amat serius dalam usaha memerangi isu penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, usaha bersepadu itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi juga di pedalaman.

Menurutnya, penganjuran pelbagai program berkaitan pencegahan dadah menunjukkan kerajaan benar-benar memandang serius permasalahan melibatkan hala tuju golongan muda sebagai modal insan negara.

“Saya amat berharap program seperti ini meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai betapa bahayanya penyalahgunaan dadah serta kesan yang akan timbul akibat gejala ini.

“Sehubungan itu, saya mengingatkan ibu bapa di luar bandar agar sentiasa memantau anak masing-masing agar tidak terjerumus,” katanya. Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Program One Stop Committee – Menangani Isu Dadah Dan Substans (OSC MIDS) Peringkat Komuniti Daerah Daro anjuran bersama-sama Jawatankuasa OSC MIDS Daerah Daro dan Pemadam Daerah Daro di Dewan Masyarakat Kampung Penasu, kelmarin.

Sehubungan itu, Shafiee berkata, penyaluran maklumat terutama daripada masyarakat setempat penting bagi memudahkan usaha membendung kegiatan berkenaan.

Katanya, semua pihak termasuk ketua masyarakat harus memainkan peranan agar tindakan lanjut dapat dilakukan, sekali gus menggagalkan pengedaran dan penyalahgunaan dadah daripada terus berlaku.

“Masalah ini mesti dipantau kerana ia memberi kesan besar bukan sahaja kepada penagih itu sendiri tetapi juga seluruh komuniti,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Safiee menyampaikan geran MRP sebanyak RM10,000 kepada Pemadam Daerah Daro; RM5,000 untuk JKKK Kampung Penasu; RM5,000 kepada PIBG Sekolah Kebangsaan Penasu; RM5,000 kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Penasu dan RM5,000 JKKK Rumah Johannes Lapok Mabil.

Pada masa yang sama, Rumah Gitai menerima RM4,000, Rumau Empati Sungai Ilas (RM4,000), Rumah Ujang Umpu Sungai Mawan (RM3,000) dan Penempatan Kapitan Ting Mee Lung (RM3,000).

Hadir sama ialah Pemangku Pegawai Daerah Daro Madzihi Musa; Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik IPD Meradong Sarjan Rudy Jembun dan Ketua Unit Rawatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Bahagian Mukah Mohamed Tumi. Program disertai lebih 80 penduduk Kampung Penasu dan penghuni rumah panjang sekitarnya.

Suara Sarawak