KUCHING: Hasrat seorang warga emas mendapatkan 10 tin serbuk susu jenama terkenal pada harga RM440 bertukar mimpi ngeri apabila tawaran murah itu dipercayai menjadi perangkap sehingga menyebabkan kerugian RM40,000.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, mangsa berusia 71 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan berkenaan di Facebook sebelum menghubungi pihak yang mendakwa sebagai khidmat pelanggan menerusi WhatsApp.
“Mangsa kemudian diarahkan menekan satu pautan yang diberikan penjual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas mengikut arahan berkenaan, telefon mangsa dipercayai digodam sehingga tidak dapat digunakan sebelum wang daripada dua akaun banknya dipindahkan secara dalam talian tanpa kebenaran, menyebabkan kerugian keseluruhan RM40,000.
Kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu di kediaman mangsa di Kuching, manakala laporan polis dibuat pada 26 Ogos.
Milton berkata, iklan Facebook palsu yang menawarkan serbuk susu berjenama pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran itu bukan kali pertama digunakan sebagai umpan sebelum mangsa diperdaya menerusi pautan pancingan data.
Sehubungan itu, beliau menggesa Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan lebih tegas terhadap penipuan berasaskan pautan pancingan data, selain meminta institusi perbankan memperkukuh sistem keselamatan transaksi dalam talian.
“Bagaimana mungkin satu pautan boleh menjejaskan dua akaun bank? Bank mempunyai tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi untuk memastikan wang pendeposit dilindungi,” katanya.
Milton turut meminta MCMC menyekat dan menurunkan halaman Facebook palsu serta pautan pancingan data, manakala PDRM mempergiat siasatan terhadap sindiket terbabit.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan mencurigakan atau memberikan TAC, OTP dan maklumat perbankan serta menggunakan laman rasmi farmasi, jenama atau platform e-dagang bereputasi bagi transaksi dalam talian.



