ENGKILILI: Perpaduan kaum di Sarawak terus diperkukuh menerusi kemeriahan Perarakan Jontoi yang menghiasi Pekan Engkilili sempena penutupan rasmi Perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Acara penuh tradisi ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.
“Perarakan Jontoi bukan sekadar sambutan budaya untuk mengeratkan perpaduan kaum, tetapi juga identiti budaya masyarakat Tionghoa yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Justeru, bagi menghargai peranan dan sumbangan masyarakat Tionghoa di Engkilili dan Lubok Antu, Roy menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM65,000 kepada empat persatuan Tionghoa, iaitu Persatuan Teochew Engkilili, Persatuan Hakka Engkilili, Engkilili Chinese Temple Charitable Trust Board, serta Lubok Antu Chinese Temple Charitable Trust Board.
Suasana perarakan cukup meriah dengan peserta yang tampil mengenakan pakaian tradisional penuh warna-warni, diiringi paluan gendang serta persembahan tarian naga dan singa yang memukau perhatian pengunjung.
Sebanyak 50 kumpulan dari Kuching sehingga ke Sibu tampil memeriahkan perarakan dan menarik ribuan pengunjung membanjiri kawasan sekitar untuk menyaksikan keunikan acara tersebut.

