GEDONG: Sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi platform penting untuk memperkenalkan peranan serta perjuangan institusi itu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, program yang diadakan di Gedong itu juga merupakan sebahagian daripada usaha DBP untuk mendekatkan bahasa dan sastera kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Ini merupakan acara yang besar bagi kami kerana di sinilah peluang untuk kami memperkenalkan DBP kepada masyarakat dan memperkenalkan perjuangan serta fungsi bahasa dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 di Dewan Datuk Patinggi Ali yang disempurnakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Seri Naroden Majais mewakili Premier Sarawak, malam tadi.
Menurut Hazami, Gedong dipilih bukan semata-mata kerana beliau berasal dari kawasan tersebut, tetapi kerana daerah itu dilihat mempunyai potensi pembangunan yang besar selain membuka ruang pendedahan kepada generasi muda.
Katanya, pendidikan dan ilmu pengetahuan merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.
Beliau berkata, penganjuran program ini turut menjadi sebahagian daripada sumbangan peribadinya kepada kampung halaman selain membawa peranan DBP lebih dekat dengan masyarakat setempat.
Tambah beliau, DBP akan terus memainkan peranan sebagai peneraju pembangunan bahasa dan sastera selain memperluas usaha memperkukuh budaya membaca, kebahasaan dan kesusasteraan dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan komitmen DBP untuk menambah bahan bacaan di perpustakaan desa di Kampung Gedong dan Kampung Lubok Punggol bagi memperkaya akses masyarakat kepada ilmu.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memilih Gedong sebagai Kampung Angkat MADANI Ketua Pengarah DBP bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan serta galakan membaca dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh dan Ahli Lembaga Pengelola DBP Datuk Jeniri Amir.

