Percepat pembangunan Lubok Antu

LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang komited untuk mempercepatkan pembangunan di kawasannya bagi merapatkan jurang kemiskinan luar bandar dan bandar.

Justeru, beliau mahu rakyat di Lubok Antu terus bekerjasama dan saling hormat-menghormati demi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ini akan memastikan hak rakyat terbela dan projek-projek yang diagihkan akan menguntungkan semua rakyat tanpa mengira ideologi politik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jaong Lubok Pantu, Ulu Engkari di sini kelmarin. Jugah turut menyampaikan geran berjumlah RM113,000 kepada beberapa rumah panjang termasuk sekolah.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM70,000 untuk pembinaan parit Rumah Jaong dan RM13,000 kepada JKKK Rumah Jaong.

Selain itu, RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Ulu Engkari serta RM5,000 masing-masing kepada JKKK Rumah Bada, Nanga Talong dan JKKK Rumah Patrick Tarum, Buai. Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi turut hadir.

Suara Sarawak