KUCHING: Sejumlah 900,438 daripada 1.5 juta hektar anggaran Tanah Hak Adat (NCR) di Sarawak diluluskan bagi pembinaan projek pembangunan pertanian setakat 7 November lepas.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada 219,469 pemilik tanah NCR.
‘’Kita menerima peruntukan di bawah Program Khas Bumiputera (PKB) berjumlah RM200,000 untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pemahaman lebih baik soal pembangunan tanah NCR dalam kalangan pemilik tanah NCR.
“Sebanyak 16 sesi pelibatan dijalankan, dan lapan permohonan seluas 15,000 hektar dikemukakan kepada kami untuk pengesahan dan pertimbangan lanjut.
“Permohonan ini ditadbir oleh Jawatankuasa Sehenti (OSC) dan Pasukan Petugas Negeri (STF) untuk memastikan NCR dibangunkan secara mampan dan memberi manfaat kepada pemilik tanah serta pelabur,” katanya semasa ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.
Tambahnya, di bawah Model Usahasama, kira-kira 91,600 hektar tanah NCR di 47 Kawasan Pembangunan Tanah NCR sedang dibangunkan oleh Syarikat Usaha Sama (JVC) dengan Lembaga Penjagaan dan Kemajuan Tanah (LCDA) sebagai ejen pengurusan yang mewakili 18,051 peserta berdaftar.
“Sehingga 30 September 2024, Projek JVC Pembangunan Tanah NCR menjana RM605 juta dalam Bayaran Pendahuluan, Insentif Tahunan dan Dividen dan dibayar kepada pemilik tanah yang mengambil bahagian,” tambahnya.
Dr Rundi berkata kerajaan juga meluluskan Model Pembangunan Pajakan Tanah NCR pada Mac 2024, bersama-sama Model Usaha Sama sedia ada, untuk mempercepat pembangunan tanah NCR.
“Dari April hingga Oktober 2024, 21 permohonan untuk pembangunan kelapa sawit, kopi dan penanaman pokok seluas 29,604 hektar, tetapi 10 permohonan diluluskan, meliputi 13,931 hektar,” katanya.
Dr Rundi menyatakan bahawa Tanah NCR diiktiraf sebagai tanah pertanian, dan kementerian akan terus menyokong tanah NCR untuk penanaman kelapa sawit baharu.






