Percepatkan pembayaran kontraktor

MIRI: Persatuan Kontraktor Daerah Limbang menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan semua tuntutan pembayaran kontraktor Kelas E dan F yang tertunggak.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting yang juga Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, SUPP menyokong gesaan persatuan kontraktor itu.

“Apabila semua dokumen yang diperlukan untuk tuntutan pembayaran disediakan dan diserahkan, kerajaan harus segera membuat pembayaran kepada kontraktor.

“Ini akan membantu mengurangkan beban mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekalkan perniagaan dan terus membayar gaji kepada pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Untuk itu beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan mengambil perhatian dan memperbaiki kesilapan kerajaan terdahulu dalam mempercepatkan semua tuntutan pembayaran tertunggak bagi kerja-kerja yang dilakukan pada tahuntahun sebelumnya.

“Lebih baik jika kita menetapkan tempoh maksimum 30 hari selepas penyerahan kerja yang dilakukan untuk pemprosesan dan penyelesaian sebarang tuntutan pembayaran termasuk yuran profesional bagi semua projek Kerajaan Persekutuan dan

Kerajaan Sarawak. “Jadi, kontraktor dan perunding tidak perlu menunggu terlalu lama pembayaran mereka dan menyebabkan gangguan kepada aliran tunai mereka,” jelas beliau.

Sebastian memberitahu, susulan penguatkuasaan PKP, industri pembinaan telah terhenti sehingga menyebabkan kebanyakan projek pembinaan mengalami kelewatan. “Gangguan ini akan memberi kesan ke atas kapasiti syarikat dan aliran tunai masa hadapan disebabkan kelewatan bayaran tuntutan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun.

“Ini juga terjadi kepada industri pembinaan lain seperti arkitek, jurutera dan juruukur kerana kebanyakan bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembayaran semua yuran yang tertunggak supaya mereka boleh terus membayar gaji penuh kepada pekerja termasuk penyewa dan pemiutang,” ujarnya.

Suara Sarawak