SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menzahirkan penghormatan terhadap Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali atas sumbangan besar beliau dalam bidang kesihatan, pendidikan, dan kebajikan sosial yang memberi impak kepada generasi rakyat Malaysia.
Wong turut menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta keluarga atas pemergian tokoh yang disifatkan sebagai seorang yang mesra, anggun, dan bersemangat tinggi.
Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan pula menyifatkan Allahyarham sebagai perintis bidang perubatan yang membuka jalan kepada ramai wanita untuk menceburi profesion tersebut dengan memperjuangkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Allahyarham merupakan satu-satunya wanita Melayu yang menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada tahun 1947 sebelum menamatkan pengajian pada Jun 1955.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun dan selamat disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada petang Isnin seperti dilapor Bernama.


