SETIAP insan yang memilih jalan seni membawa bersamanya sisi yang tidak ternilai kisah pengorbanan, kenangan manis dan perjuangan yang tersirat.
Minggu lalu, saya berpeluang mengenali kisah seorang tokoh seni yang hebat, Cikgu Abdillah Untong, insan yang telah membimbing ratusan anak seni di Sarawak dan terus menjadi tunjang utama dunia teater di negeri ini.
Di bilik teater Sekolah Seni Malaysia Sarawak, saya duduk bersama-sama beliau, mendengar dan mencatat pengalaman seorang seniman sejati.
Cikgu Abdillah bukan sekadar jurulatih teater. Beliau ialah penjaga semangat teater di bumi Kenyalang, yang telah berkecimpung dalam dunia ini sejak 1988.
Lebih 30 tahun berlalu, namun beliau tetap setia, bukan kerana gaji atau populariti, tetapi kerana cinta yang mendalam terhadap dunia seni.
“Saya mula berteater pada 1988.
Belajar secara formal di USM Pulau Pinang pada 1992, habis belajar pada 1997.
Sejak itu, saya tidak pernah berhenti,” katanya tenang. Tetapi di balik ketenangan itu, ada semangat luar biasa.
Beliau bukan sekadar mengajar lakonan atau teknik pentas, beliau mendidik jiwa.
Beliau mengimbau saat-saat manis dalam dunia teater, ketika tertinggal lima muka surat dialog dalam satu pertandingan .
“Waktu itu saya ingat kami akan kalah. Tetapi Alhamdulillah, kumpulan kami tetap menang.
“Saat itu, saya bayangkan seorang pelakon muda berdiri di pentas dengan dada yang sesak, cuba menyelamatkan persembahan. Itulah seni.
Kesilapan bukanlah noktah, tetapi permulaan kreativiti,” katanya.
Namun, tidak semua yang dilaluinya manis.
Cikgu Abdillah berkongsi cabaran terbesar dunia teater di Sarawak kehilangan aktivis dan kumpulan teater di bahagianbahagian luar Kuching.
“Dulu hampir setiap bahagian ada kumpulan teater.
Di Lawas, Miri, Bintulu, Sibu, Kapit… sekarang hanya tinggal di Kuching,” katanya perlahan, nada kecewa yang sukar disembunyikan.
Beliau pernah cuba menghidupkan kembali semangat itu semasa bekerja di Kementerian Pembangunan Sosial, melalui programprogram teater, tetapi usahanya selama lebih 10 tahun tidak berhasil. “Tiada aktivis yang sanggup teruskan.
Ramai sudah berkeluarga, pencen, atau tiada minat.” Saya terdiam.
Sebagai penulis yang sering merakam suara insan seni, saya tahu kenyataan itu benar.
Seni memerlukan pengorbanan, dan tidak ramai sanggup bertahan apabila kehidupan menuntut pilihan yang lebih “praktikal”. Tetapi Cikgu Abdillah tetap percaya.
Beliau terus teguh berdiri, mendidik anak-anak muda agar terus mendengar dan mengekspresikan suara hati mereka melalui seni teater.
Cikgu Abdillah turut berkongsi kenangan manis dunia teater Sarawak, yang membuktikan bahawa walaupun datang dari negeri yang jauh, kualiti pementasan kita setanding dengan di Semenanjung.
Pada 2008, kumpulan teater SIFAR dari Sarawak muncul juara Festival Teater Malaysia dengan naskhah Tukang Ensera, dan memenangi hampir semua anugerah termasuk Pengarah Terbaik.
Kejayaan itu diulangi pada 2014 menerusi naskhah Penggali Intan, yang turut diarahkan oleh beliau sendiri.
“Kalau ada produksi dari Sarawak, orang Semenanjung akan tunggu.
Mereka tahu kita bukan calang-calang,” katanya penuh bangga.
Saya kemudian mengajukan satu soalan yang ringkas, tetapi penuh makna.
“Apa yang seni ajarkan kepada Cikgu sebagai seorang manusia?”
Jawapannya membuatkan saya terdiam, merenung jauh ke dalam diri sendiri.
“Seni itu cerminan kehidupan.
Di atas pentas, kita melakonkan penderitaan orang lain, dan dari situ kita belajar empati.
“Apabila kita bawa watak orang miskin, orang buta, orang menderita… kita belajar rasa apa-apa yang mereka rasa,” katanya perlahan tetapi penuh makna.
Bagi Cikgu Abdillah, seorang seniman sejati bukan hanya bijak melakonkan peranan tetapi mesti memiliki empati yang mendalam.
Orang seni, katanya, ialah mereka yang belajar memahami sebelum menghukum, yang belajar merasa sebelum berbicara.
“Dunia ini perlukan lebih ramai orang yang memahami, bukan sekadar memerhati,” katanya lagi, satu pesan yang sangat tepat dalam realiti hari ini.
Bagi beliau, teater bukan sekadar hiburan atau persembahan, tetapi ia ruang ekspresi, ruang penyembuhan, dan ruang membuka mata masyarakat terhadap isu dan kisah yang mungkin selama ini tidak dipedulikan.
“Apabila penonton menonton pementasan kita dan mereka rasa tersentuh, itu adalah kejayaan sebenar.
“Kita bukan hanya menghibur, tapi memberi kesedaran dan mungkin membantu menyembuhkan.” Inilah kekuatan teater yang sebenar memberi makna, bukan sekadar lakonan.
Falsafah hidup yang beliau pegang juga cukup menyentuh hati.
“Hidup ini hanya sekali, dan kita kena beri erti pada kehidupan itu.
“Saya nak anak murid saya jadi orang besar suatu hari nanti.
Tapi untuk itu, mereka kena berkorban, belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Bagi beliau, mendidik adalah misi hidup. “Sekali bererti, selepas itu mampus,” katanya sambil ketawa kecil berseloroh, tetapi sarat dengan makna.
Bagi Cikgu Abdillah, hidup tanpa makna seperti mati sebelum sempat memberi apa-apa kepada dunia.
Dan atas makna itu, bagi beliau, hadir menerusi seni khususnya melalui teater yang menjadi jalan hidupnya selama ini.
Saya kemudian mengajukan soalan yang sering dibangkitkan dalam era moden ini, masih relevankah teater dalam zaman yang serba digital ini?
Beliau tidak perlu berfi kir panjang. Jawapannya ringkas, tetapi tegas, manusia tetap perlukan cerita dan teater adalah cara paling jujur untuk bercerita dengan hati, tubuh, dan jiwa.
“Teater mendidik disiplin.
Ia bukan hanya tentang lakonan, tetapi tentang menghormati masa, menghormati orang, menghargai arahan, menjadi manusia yang rapi dan kemas.”
Nilai-nilai ini, katanya, yang membentuk watak pelakon dan akhirnya membentuk watak manusia itu sendiri.
Teater, bagi Cikgu Abdillah, adalah medan untuk mendisiplinkan diri.
“Kita bermain di atas pentas, tapi jangan main-main.”
Ayat itu masih terngiang di kepala saya. Ia bukan sekadar sindiran lucu, tetapi sindiran tajam kepada masyarakat yang sering memandang ringan peranan seni.
Ketika saya meninggalkan ruang temu bual itu, saya sedar bahawa saya tidak hanya mendengar kisah seorang jurulatih teater.
Akan tetapi, saya telah menyaksikan sebuah kehidupan yang diberi makna melalui seni.
Dalam dunia yang semakin kehilangan jiwa, insan seperti Cikgu Abdillah Untong adalah pelita yang menyala, terus memberi cahaya kepada generasi seterusnya.



