SARIKEI: Jambatan Batang Rajang, Sarikei, bakal dibuka kepada orang ramai selepas Majlis Pra Pelancaran yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mac ini.
Walau bagaimanapun, kerja-kerja kecil (minor works) di jambatan tersebut masih giat dijalankan. Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa melalui jambatan berkenaan dan mematuhi segala arahan lalu lintas demi keselamatan bersama.
Projek yang menelan kos RM321 juta ini meliputi pembinaan sebuah jambatan yang merentangi Batang Rajang, serta jalan raya sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan Sarikei, Pasi, dan Tanjung Manis.
Ketika ini, penduduk Sarikei yang ingin ke Tanjung Manis terpaksa merempuh perjalanan darat lebih dua jam dengan merentasi Sibu. Namun, apabila siap kelak, laluan baharu yang disediakan oleh kerajaan Sarawak itu akan memendekkan masa perjalanan kepada hanya 45 minit.
Projek mega ini bakal menjadi ‘game changer’ yang bukan sahaja memberi manfaat besar kepada rakyat tetapi juga mengubah wajah Sarikei dan Tanjung Manis secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata projek berimpak tinggi itu merupakan salah satu bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman.
Beliau turut menegaskan bahawa projek tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuhkan hubungan ekonomi antara kawasan pedalaman dengan pusat bandar.
“Jambatan ini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan membantu para petani serta usahawan tempatan memasarkan produk mereka dengan lebih mudah dan efisien,” kata beliau.


