ARTIKEL

Perjalanan menuju barzakh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA 1 Ogos lalu, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita pemergian datuk, Anuar Hussain atau lebih dikenali sebagai Usu Bojet.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kediamannya di PPR Taman Sri Wangi.

Saya yang memulakan syif bekerja seawal jam 7.00 pagi terpaksa mengambil cuti ihsan, iaitu cuti khas yang diberikan kepada pekerja dalam situasi kehilangan ahli keluarga terdekat.

Dalam situasi hiba ketika itu, saya bersyukur kerana rakan setugas sudi mengambil alih tugasan tersebut memandangkan editor di bahagian digital memerlukan pemantauan yang pantas dan terkini.

Saya terlibat secara langsung dalam proses pengurusan jenazah di Masjid Nurul Khair, Kampung Samariang Batu.

Memandikan, mengkafankan dan solat jenazah dilakukan selepas solat Jumaat pada hari tersebut.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang Petra Jaya.

TALKIN

Dalam dua tahun kebelakangan ini, saya kehilangan ramai ahli keluarga terdekat.

Ada yang disebabkan kanser dan faktor usia.

Saya suka melibatkan diri dalam proses pengurusan jenazah untuk mempelajari fardu kifayah tersebut.

Selepas proses pengebumian, biasanya talkin akan dibacakan sebagai tazkirah ringkas.

Ia berkaitan petunjuk atau peringatan tentang soal jawab di dalam kubur yang dibacakan kepada jenazah.

Namun isi yang disampaikan amat bermanfaat kepada kita yang masih bernyawa.

Walaupun ada perbincangan dari sudut hukum dan pendapat ulama mengenai pelaksanaannya, amalan ini tetap menjadi satu kebiasaan yang dihormati dan dijalankan dengan penuh tertib.

Biasanya, ia dilakukan oleh imam atau waris, dan dibacakan sambil berada di sisi kubur.

Talkin bukan hanya untuk si mati, malah merupakan peringatan kepada yang masih hidup.

Kata-kata yang dibacakan mengandungi mesej mendalam tentang kehidupan sementara di dunia dan kepastian kematian.

Malah, potongan ayat talkin juga amat popular dan sering digunakan dalam drama.

“Apabila datang kepadamu dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir sebagai wakil daripada Allah untuk menyoal kamu dan orang lain yang mati seumpama kamu.

Janganlah kamu menjadi terkejut, gerun dan gentar kerana keduaduanya itu ialah makhluk Allah.”

“Man rabbuka – siapa Tuhanmu?

Man nabiyyuka – siapa nabimu?

Ma dinuka – apa agamamu?

Man imamuka – siapa imammu?

Ma qiblatuka – apa kiblatmu? Man ikhwanuka – siapa saudara-saudaramu?

Apa keyakinan semasa kamu mati?”

Apabila soalan-soalan itu dibacakan, seolah-olah ia turut ditujukan kepada ahli keluarga yang hadir.

Mampukah kita menjawabnya kelak?

Dengan berakhirnya bacaan doa dan talkin, selesailah pengurusan jenazah dan tanggungjawab orang yang masih hidup ke atas jenazah.

Tamatlah perjalanan di dunia dan bermulalah perjalanan di alam barzakh.

Apabila seseorang itu meninggal dunia, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Semoga amalan kita di dunia ini mencukupi untuk dipersembahkan kepada Sang Pencipta.

BERITA LAIN

Ada janji di sebalik emas

Disebalik dua pingat emas Paralimpik dan rekod dunia yang dicipta, Bonnie Bunyau Gustin memegang satu janji yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, iaitu untuk membuktikan

BERITA TERBARU

DENGARLAH

Dengarlah, Bukalah mata Dengarlah rintihan alam yang terluka Usahlah api menjadi keKasih yang membinasakan Usahlah kerakusan menjadi duri yang menikam masa depan Andai alam mampu

DI BALIK WAJAH KEMANUSIAAN

Di bumi yang kian hilang cahaya Manusia tenggelam dalam lautan kerakusan Demi takhta, harta dan kuasa Tergadai maruah, terpadam rasa Tangisan insan menjadi irama dunia