KUCHING: Budaya kitar semula menerusi program gotong-royong wajar diperkasakan sebagai amalan harian masyarakat khususnya dalam kalangan golongan muda.


Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Program Gotong-Royong Perdana 2026 Kejiranan Mesra (KJM) Samariang merupakan contoh program berkesan yang wajar dianjurkan secara berkala.
“Program seperti ini sangat baik dan wajar diamalkan di peringkat kampung kerana kita bukan sahaja membersihkan kawasan, malah mempraktikkan gaya hidup kitar semula,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di pekarangan Masjid Darul Muslimin, Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kitar semula perlu dibudayakan sebagai satu amalan positif, terutamanya dalam pengurusan sisa plastik yang memberi kesan besar kepada alam sekitar sekiranya dibuang secara tidak terkawal.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan KJM yang menganjurkan program gotong-royong serta pertandingan mengutip sisa buangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak membuang barangan terpakai sewenang-wenangnya, sebaliknya menyimpan dan mengasingkan bahan seperti plastik, kertas dan sisa lain yang boleh dikitar semula bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal.
Menurutnya, usaha memelihara alam sekitar selari dengan hala tuju pembangunan negeri Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan pesat dengan pemeliharaan alam sekitar.
Justeru, beliau berharap masyarakat setempat dapat mengambil inisiatif menjaga kebersihan kampung masing-masing secara bersama tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan.
Untuk rekod, seramai 150 penduduk Kampung Sungai Bedil Besar menyertai program tersebut bersama-sama 30 pelajar masing-masing dari Kolej Universiti i-CATS dan Kolej SIDMA Sarawak yang dijemput sebagai sukarelawan.
Sebanyak 403.04 kilogram sisa buangan berjaya dikumpulkan sepanjang program berkenaan.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman; Pengarah DBKU Ramzi Abdillah; Penghulu Kampung Sungai Bedil Ghani Abone dan Ketua Kaum Kampung Sungai Bedil Daud Majidi.

