ARTIKEL

Perkasa industri sawit S’wak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) mengemukakan lima cadangan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi memperkukuh daya saing industri sawit Sarawak yang kini berdepan dengan peningkatan kos operasi, kekurangan tenaga kerja dan keperluan untuk mematuhi piawaian antarabangsa yang semakin kompleks.

Cadangan tersebut dikemukakan semasa kunjungan hormat delegasi SOPPOA yang diketuai Pengerusinya, Datuk Joseph Blandoi, kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Menurut SOPPOA, cadangan tersebut termasuk memohon agar Sarawak diberi perwakilan tetap dalam Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Langkah ini bagi memastikan sumbangan besar Sarawak sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar di peringkat nasional.

“Selain itu, kami turut mencadangkan mekanisme kelulusan jangka panjang bagi pembakaran Tandan Buah Kosong (EFB) untuk penghasilan baja organik.

“Hal ini kerana Sarawak menghasilkan kira-kira lapan juta tan EFB setiap tahun. Cadangan mekanisme ini sekali gus menggantikan proses kelulusan tahunan yang disifatkan menimbulkan ketidakpastian operasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, SOPPOA turut mencadangkan semakan semula Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dengan menaikkan paras ambang kepada RM4,000 bagi setiap tan minyak sawit mentah.

“Pada masa yang sama, kami menyarankan agar kadar levi dikembalikan kepada 1.5 peratus dengan mengambil kira kos pengeluaran dan logistik yang lebih tinggi di Sarawak, selain kewujudan Cukai Jualan Negeri (SST).

“Turut dicadangkan ialah pengecualian peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa produk sampingan sawit, termasuk sulingan asid lemak isirung sawit, sulingan asid lemak sawit, tempurung sawit dan EFB kerana bahan mentah ini penting bagi industri hiliran, penggunaan biomas dan ekonomi kitaran,” jelasnya.

Cadangan kelima SOPPOA ialah supaya kerajaan mengkaji semula keperluan pemasangan sistem penangkapan gas metana berikutan terdapat kilang yang memohon untuk menggunakan kapasiti pemprosesan sedia ada.

“Langkah ini sekali gus memberi tempoh yang lebih munasabah kepada pengusaha untuk memperoleh pulangan daripada pelaburan alam sekitar yang telah dilaksanakan,” jelasnya.

Menurut SOPPOA, semua cadangan tersebut dikemukakan susulan industri berkenaan berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk kekurangan tenaga kerja apabila kira-kira 80 peratus pekerja ladang terdiri daripada pekerja asing.

“Selain itu, peningkatan kos buruh, baja, bahan kimia pertanian, jentera, bahan api dan logistik terus meningkatkan kos pengeluaran, dengan kos buruh dan baja sahaja merangkumi antara 60 hingga 80 peratus daripada keseluruhan kos operasi ladang.

“Pada masa yang sama, industri turut berdepan dengan ancaman perosak dan penyakit seperti ulat tandan, tikus, anai-anai serta penyakit Ganoderma, selain perlu mematuhi lebih 60 piawaian dan keperluan kawal selia antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pertemuan itu, SOPPOA turut memberikan taklimat mengenai peranan persatuan dalam mewakili kepentingan pemilik ladang kelapa sawit di Sarawak serta usaha memperkukuh pembangunan industri melalui advokasi, pembangunan kapasiti, amalan kelestarian dan kerjasama erat dengan kerajaan.

“Ahli kami menguruskan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit serta mengendalikan hampir 80 peratus daripada 86 kilang sawit di negeri ini, meliputi keseluruhan rantaian nilai sektor huluan dan hiliran.

“Malah, industri ini terus mencatat prestasi yang memberangsangkan apabila menghasilkan 4.49 juta tan minyak sawit mentah pada 2025, meningkat sebanyak 7.47 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah itu menyumbang 22.2 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia,” tegasnya.

Selain itu, katanya, nilai eksport minyak sawit mencecah RM18.7 bilion, meningkat sebanyak 16.6 peratus, manakala industri berkenaan menjana RM801 juta hasil SST, iaitu peningkatan sebanyak 12.75 peratus berbanding tahun 2024.

“Pencapaian tersebut membuktikan industri ini terus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi, hasil eksport serta pendapatan kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, SOPPOA merakamkan penghargaan kepada Huang atas perbincangan yang disifatkan konstruktif serta mengalu-alukan arahan beliau kepada pegawai kementerian agar tindakan susulan segera diambil terhadap semua isu yang dibangkitkan.

Persatuan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan dalam memperkukuh daya saing, kelestarian dan daya tahan jangka panjang industri sawit negara, di samping memastikan keunikan persekitaran operasi di Sarawak terus diberi perhatian sewajarnya.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU