SARIKEI: Usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar terus diperkasa menerusi penganjuran Program Hari Rendah Karbon di Taman Tasik di sini hari ini.
Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Kaunselor Stephen Wong Kie Yong berkata program tersebut merupakan antara inisiatif penting dalam menyokong agenda pembangunan mampan serta memupuk budaya rendah karbon dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran program itu bukan sekadar aktiviti rutin, sebaliknya menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan masing-masing dalam memelihara alam sekitar.
“Program seperti ini memberi penekanan kepada tindakan praktikal yang boleh dilakukan oleh setiap individu, termasuk mengurangkan pencemaran dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahap kebersihan di kawasan program adalah memuaskan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak majlis dalam memastikan persekitaran bandar sentiasa terjaga.
Dalam pada itu, Stephen menegaskan bahawa perubahan iklim global memerlukan tindakan segera dan berterusan, walaupun bermula dengan langkah kecil di peringkat komuniti.
Tambahnya, setiap usaha yang dilakukan hari ini mampu menyumbang kepada perubahan besar pada masa hadapan jika dilaksanakan secara konsisten.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan majlis serta para pelajar yang mengambil bahagian dalam menjayakan program tersebut.
Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah ‘plogging’, iaitu gabungan aktiviti berjoging sambil mengutip sampah di kawasan sekitar, yang dilihat mampu memberi impak positif kepada kesihatan peserta serta kebersihan persekitaran.
Selain itu, program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti penanaman pokok sebagai salah satu usaha memperluas kawasan hijau dan meningkatkan kualiti udara.
“Inisiatif penanaman pokok ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah menjadi pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan generasi akan datang,” jelasnya.
“Harapan saya agar program seperti ini tidak terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya diteruskan sebagai amalan harian demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” ujarnya.

