SIMUNJAN: Usaha memperbanyakkan penganjuran kejohanan sukan bola sepak lima sebelah atau sinonim dengan panggilan futsal untuk dua kategori berbeza iaitu lelaki dan wanita veteran perlu diperkasa.
Pendekatan ke arah itu penting, kerana tidak hanya memberi peluang kepada pemain dari golongan sasar dalam mengetengah bakat masing-masing.
Malah, berupaya menggalak mereka untuk terus aktif dalam bidang sukan yang diminati itu.

Demikian diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Simunjan, Awla Dris ketika mengulas penganjuran Karnival Futsal Lelaki & Wanita Veteran 2024 sempena Hari Malaysia 202 semalam.
Karnival terbabit berlangsung sehari di Arena Sri Nancy, Simunjan dan disertai pasukan dari Kuching, Kota Samarahan serta kawasan pelbagai daerah sekitarnya.
“Sesungguhnya amat perlu penganjuran untuk kejohanan peringkat umur veteran kerana secara tidak langsung dapat menggalak mereka terus aktif bersukan,” ujar Awla.
Sementara itu, beliau turut hadir menyaksikan kelibat pemain serta turut diberi penghormatan menyempurnakan majlis perasmian karnival berkenaan.
Terdahulu, Awla menzahir rasa syabas kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan mengelolakan karnival berkenaan.
Beliau amat berharap karnival tersebut akan dapat dianjur pada setiap tahun selepas ini.



