MUKAH: Kampung Narub di Dalat berpotensi untuk dibangunkan sebagai salah satu lagi destinasi ekopelancongan baharu di bahagian ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata perkampungan yang dihuni lebih 200 penduduk itu kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Malah katanya, dengan mengetengahkan budaya, ia bukan sahaja mempromosikan Kampung Narub tetapi juga membantu melestarikan warisan dan identiti masyarakat di kawasan berkenaan.
“Sungai dan hutan yang menghijau merupakan elemen semula jadi yang sangat penting dalam ekopelancongan.
“Gabungan keindahan sungai dan hutan menjadikan kawasan ini (Kampung Narub) destinasi yang sesuai untuk menarik pelancong, terutama yang ingin menikmati suasana tenang dan mengemari aktiviti lasak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jangkauan KPWK Sarawak di Kampung Narub, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan tebingan sungai bagi kemudahan penduduk.
Kemudahan itu bukan sahaja memudahkan urusan logistik tetapi juga meningkatkan keselamatan penduduk yang melakukan pelbagai aktiviti berkaitan.
“Usaha ini membuktikan keprihatinan kerajaan menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyat khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Program diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan, antaranya penyerahan Kenyalang Gold Card kepada warga emas, bantuan kepada keluarga yang memerlukan serta pemeriksaan kesihatan.

