ARTIKEL

Perkhidmatan awam terus diperkukuh guna teknologi digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam terus diperkukuh dan ditingkatkan selaras dengan pembangunan pendigitalan dalam usaha mempercepat urusan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, usaha berkenaan dimulakan dengan penghantaran penjawat awam menerusi beberapa siri kumpulan ke India bagi menjalani kursus selama enam bulan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kumpulan pertama telah selesai menjalani latihan di India dan kita sudah hantar kumpulan kedua 21 orang. Kita juga akan ada kumpulan seterusnya (yang akan dihantar).

“Ia akan menjadi proses berterusan dalam usaha pendigitalan perkhidmatan awam,” katanya kepada Bernama dan RTM di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini, semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat berkenaan bertitah agar sistem perkhidmatan kerajaan dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar kerajaan melaksanakan segera pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini.

Pada 24 Januari lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, peruntukan tambahan RM56 juta untuk latihan penjawat awam bagi peningkatan kompetensi dalam tujuh bidang tujahan baharu akan mula disalurkan kepada 28 kementerian dalam masa terdekat.

Tujuh bidang tersebut merangkumi AI, transform digital, keselamatan siber, peralihan tenaga, keterjaminan dan teknologi makanan, persempadanan negara serta pengurusan bencana. – Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU