SARATOK: Keterangkuman sosial dapat dibina menerusi festival atau perayaan.
Menegaskan demikian, ADUN Kalaka Mohamad Duri, yang menyatakan perkongsian perayaan merapatkan silaturahim penduduk di Saratok khasnya dan Sarawak amnya.
“Kebersamaan dalam menyambut perayaan sentiasa menjadi keunikan yang dikagumi di Sarawak.
“Malam ini (malam semalam), diadakan perayaan Kuih Bulan yang disambut pelbagai kaum, maka saya berani menegaskan keterangkuman sosial dapat dibina melalui festival atau perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri jemputan Majlis Makan Malam sempena Perayaan Kuih Bulan di SJKC Min Syn dekat sini, malam semalam.
Jelasnya, penganjuran yang diadakan di sekolah juga diyakini membantu perkembangan minda anak-anak yang diasuh mengenai budaya setiap kaum yang ada di Sarawak.
Amat jelas sejak sekian lama tambah Mohamad, penyatuan kaum di Sarawak berjaya dipupuk di peringkat sekolah lagi.
“Perpaduan yang kukuh dan erat masyarakat berbilang bangsa dan agama di Saratok memudahkan lagi setiap perayaan diraikan bersama-sama.
“Contohnya pada malam sambutan Perayaan Kuih Bulan SJKC Min Syn ini, ia turut disertai oleh masyarakat Melayu dan Iban,” ujarnya.

