BINTANGOR: Seramai 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menyertai Program Intervensi Kita Sihat 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, di sini, semalam.
Program itu merupakan salah satu pendekatan untuk memperkukuh amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota penyelamat, sekali gus memastikan mereka sentiasa berada pada tahap kecergasan dan kesihatan terbaik ketika melaksanakan tugas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program berkenaan merupakan satu inisiatif penting bagi meningkatkan kesedaran anggota terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, selain membentuk budaya hidup sihat yang berterusan dalam organisasi.
“Anggota bomba perlu memiliki tahap kesihatan fizikal dan mental yang optimum memandangkan tugasan harian mereka menuntut ketahanan, kecergasan serta keupayaan bertindak pantas dalam pelbagai situasi kecemasan.
“Malah, melalui kerjasama strategik dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, kita berpeluang menjalani pemeriksaan saringan kesihatan bagi mengenal pasti tahap kesihatan semasa, selain membolehkan langkah pencegahan awal diambil sekiranya terdapat faktor risiko penyakit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain pemeriksaan kesihatan, program itu turut diisi dengan ceramah berkaitan pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup sihat yang berkongsi pelbagai panduan praktikal untuk mengekalkan kesihatan serta mencegah penyakit tidak berjangkit.
Mahmudin berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota dari aspek kesihatan, malah mampu meningkatkan motivasi, produktiviti dan kesiapsiagaan pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kita berharap usaha berterusan menerusi penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan anggota bomba yang lebih cergas, sihat dan bersedia menghadapi sebarang cabaran, sekali gus menyokong kecemerlangan perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” tambahnya.






