KUCHING: Persekitaran keselamatan yang semakin kompleks dan berisiko menuntut pasukan polis untuk terus memperkukuh disiplin, ketahanan mental serta profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Penegasan itu disuarakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak, ACP Lim San Aik ketika berucap pada Program Sembahyang Khas Agama Buddha sempena Hari Polis ke-219 Kontinjen Sarawak yang berlangsung dalam suasana tenang dan penuh tertib di sini, hari ini.


Menurut beliau, perubahan landskap keselamatan semasa memerlukan setiap anggota polis bukan sahaja memiliki kecekapan operasi, tetapi juga keupayaan membuat keputusan secara bijaksana ketika berdepan situasi mencabar.
“Setiap anggota perlu melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang dengan penuh integriti, serta kekal tenang dalam apa-apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan tekanan kerja yang tinggi dan persekitaran berisiko merupakan cabaran berterusan dalam tugas kepolisan, yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal dan mental anggota.

“Penganjuran program ini dilihat sebagai satu ruang penting untuk memperkukuh kekuatan dalaman warga PDRM, selain membantu mereka menenangkan fikiran di tengah-tengah tuntutan tugas harian,” katanya.
Dalam masa yang sama, ACP Lim menekankan keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh digalas oleh pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat masyarakat.
Katanya, hubungan yang kukuh antara polis dengan komuniti amat penting dalam memastikan persekitaran yang lebih selamat, stabil dan harmoni dapat dikekalkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Buddha Kuching atas kerjasama menyediakan lokasi majlis serta kepada para pemimpin agama yang memimpin upacara doa.




