BINTULU: Penganjuran program Get-Together Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh ukhuwah, semangat berpasukan dan jaringan kerjasama antara warga kerja dengan rakan strategik.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata program seumpama ini selari dengan budaya kerja UKAS yang menekankan kerjasama, profesionalisme dan semangat kekeluargaan dalam melaksanakan tugas penyampaian maklumat kepada rakyat.
Menurut beliau, pertandingan bola pikel yang diadakan sepanjang majlis tersebut memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi, disiplin yang baik serta persaingan sihat dalam kalangan peserta.
“Program ini bukan sahaja mencungkil bakat dan menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform santai untuk saling mengenali serta mewujudkan jaringan kerja yang lebih kukuh,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang diadakan di Kenyalang Pickleball Centre pada Sabtu.
Simbolik perasmian disempurnakan oleh ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa kerja UKAS atas komitmen dalam menjayakan program itu, selain mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pickleball Bintulu yang bertindak sebagai pengadil pertandingan.
Sebanyak 58 penyertaan diterima pada program tersebut melibatkan 44 penyertaan bagi sukan bola pikel dan 14 lagi bagi sukan baling damak.

