LUNDU: Aksi persahabatan antara pasukan Saberkas Negeri Sarawak dan Saberkas Unit Kampung Sempadi, Lundu yang berlangsung di Kompleks Sukan Lundu petang tadi lebih kepada program santai.
Di samping pendekatan terbaik untuk merapatkan hubungan silaturahim pemain kedua-dua pasukan.
Setiausaha Eksekutif Saberkas Negeri Sarawak, Iszuan Haroni memberitahu, ia merupakan program santai bersempena sambutan Jubli Emas Saberkas Negeri Sarawak.
Menurutnya, mengikut jadual awal perlawanan persahabatan adalah antara pasukan Saberkas Unit Kampung Sempadi, Lundu menentang Football Traveller Pontianak, Indonesia.

“Kita terpaksa menukar jadual perlawanan pada saat akhir ekoran masalah dialami wakil pasukan negara jiran terbabit,” ujar Iszuan kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Iszuan, pihaknya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan tuan rumah (Saberkas Unit Kampung Sempadi, Lundu) atas kerjasama diberikan bagi menjayakan perlawanan persahabatan tersebut.
“Mungkin akan ada program lain menuusul selepas ini,” tambah Iszuan lagi.
Turut sama menjayakan perlawanan tersebut Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan, Ir Aidel Lariwoo merangkap Setiausaha Penganjur Saberkas Negeri Sarawak, Naib Presiden Saberkas Negeri Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Dr Abang Abdul Rauf serta beberapa exco lain.


