Perlu suntikan steroid untuk terus hidup…Kalsom si pembuat songkok perlu bantuan

KUCHING: Tetap bekerja walaupun sakit, tetap berdiri walaupun tidak mampu bertahan lama….begitulah nasib seorang pembuat songkok Sarawak, Kalsom Bee Muhd Yusuf, 55.

Hidupnya perih dan beban dipikulnya bukan kecil kerana harus bekerja walaupun kudrat tidak lagi kuat demi membiayai kos perubatan untuk kelangsungan hidupnya.

Wanita berasal dari Kampung No 6, Lorong Tanjong 10 itu kini menderita penyakit Psoriatic Arthropathy yang memerlukan perbelanjaan perubatan di luar kemampuannya.

Dia selama ini bergantung ubat Hospital Umum Sarawak suntikan steroid, yang diambil hanya untuk mengurang sedikit kesakitan yang dideritainya.

Menurut Kalsom, kos perubatannya sebulan kira-kira RM4,000 atau RM40,000 setahun amat jauh daripada kemampuannya.

“Saya hanya bergantung kepada suntikan steroid untuk terus hidup. Kalau tidak, mungkin saya akan terlantar di kerusi roda dan katil sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini Kalsom merupakan seorang pembuat songkok secara komersil jenama Akim Songkok, yang menggunakan bawah rumah mertuanya sebagai pusat membuat songkok dan pernah mendapat permintaan daripada orang kenamaan Sarawak.

Namun dia menerima ujian besar pada 2016 apabila banjir besar memusnahkan struktur dan peralatan membuat songkok.

Sejak itu, pelbagai ikhtiar telah dilakukan Kalsom bagi mencari sumber pendapatan sampingan.

Menurutnya, permintaan songkok yang bermusim kurang membantu kehidupannya sekeluarga.

Suaminya hanya pemandu teksi yang bersaing dengan kewujudan Grab, MyCar dan lain-lain perkhidmatan, manakala empat anaknya masih bersekolah, dua di Institusi Pengajian Tinggi dan dua lagi di sekolah rendah.

Dia juga pernah menjual nasi lemak di sekitar kejiranan namun kurang mendapat sambutan.

Kalsom juga menggunakan kemahiran yang diperoleh dari sebuah institusi swasta dalam bidang urutan tradisional dengan mengambil upah mengurut dari rumah ke rumah.

Itu pun bergantung kepada keadaan kesihatannya jika mengizinkan.

Kisah hidup Kalsom mendapat perhatian daripada sebuah badan amal bukan bukan kerajaan, iaitu Sukarelawan Jalanan apabila mereka mengunjungi serta berkongsi rezeki sumbangan berupa makanan kepadanya, semalam.

Menurut pengerusi Sukarelawan Jalanan, Suraina@Suria Adenan, pihaknya juga melancarkan kutipan dana bagi membantu meringankan beban Kalsom untuk membiayai kos perubatannya.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat yang prihatin supaya menghulurkan sumbangan meskipun RM1 ke nombor akaun bank Kalsom iaitu 11121200229328 (RHB).

Buat masa ini, Kalsom sudah mendapat kelulusan bantuan daripada Baitulmal Sarawak.

Suara Sarawak