ARTIKEL

Premier bersama-sama pemimpin negeri pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 di Pekarangan Dewan Suarah Kapit, hari ini.

Perluas Jaringan Jalan Raya Di Kapit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAPIT: Pembangunan infrastruktur jalan raya yang lebih menyeluruh di Bahagian Kapit diperlukan bagi memperkukuh akses perhubungan, khususnya kepada penduduk di seberang Sungai Batang Rajang selepas perkhidmatan bot ekspres dihentikan susulan siapnya Jalan Sibu-Kapit.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keadaan itu memberi kesan kepada penduduk di beberapa penempatan yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai untuk urusan harian termasuk mendapatkan akses kepada sekolah, klinik kesihatan dan perkhidmatan kerajaan.

Menurut beliau, kawasan yang terlibat meliputi Sungai Iran, Sungai Manan, Sungai Hijau di kawasan Katibas yang masih memerlukan jaringan jalan raya lebih menyeluruh bagi menghubungkan komuniti pedalaman dengan pusat perkhidmatan.

“Apabila Jalan Sibu-Kapit siap, semua operator bot ekspres menghentikan perkhidmatan mereka. Keadaan itu menyebabkan penduduk di seberang sungai terus berdepan cabaran akses, sedangkan di kawasan itu terdapat sekolah, klinik kesihatan dan banyak rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini semalam.

Pun begitu Alexander berkata, pembangunan infrastruktur di Bahagian Kapit tidak terhenti dengan siapnya Jalan Sibu-Kapit, malah kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperluas jaringan jalan raya bagi menghubungkan lebih banyak kawasan pedalaman.

Beliau berkata, pada 29 September 2024, Perdana Menteri mengumumkan kelulusan projek jalan utama Bahagian Kapit yang bakal menghubungkan penempatan di seberang Batang Rajang bermula dari Daerah Song hingga ke Kapit.

BERCAKAP…Nanta bercakap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 di Pekarangan Dewan Suarah Kapit, hari ini. Photo Ghazali Bujang

Menurutnya, pembinaan jalan ini akan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah akses yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya apabila siap kelak, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi, mengurangkan kos logistik, mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa projek jalan lain termasuk Jalan Nanga Ibau ke Hulu Ibau dan Jalan Nanga Tulek ke Rumah Mujah di Nanga Pelagus bagi memperkukuh jaringan perhubungan di Bahagian Kapit.

Beliau turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan jambatan di beberapa lokasi strategik di Bahagian Kapit termasuk di Nanga Baleh, Nanga Merit, Ulu Katibas dan lain-lain kawasan bagi melengkapkan rangkaian perhubungan darat di kawasan pedalaman.

Menurutnya, walaupun perkhidmatan feri kini disediakan di Nanga Merit, pembinaan jambatan amat diperlukan bagi menghubungkan kawasan berkenaan dengan Baleh, sekali gus meningkatkan kelancaran pergerakan penduduk, memudahkan urusan harian serta menyokong pembangunan sosioekonomi di kawasan terbabit.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU