ARTIKEL

Nancy (tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama pelajar.

Perluas pendidikan kesihatan reproduktif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelibatan 100 pelajar dalam Program Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Peringkat Negeri dan Sentuhan Kasih: Khatan Perdana memperkasa kesedaran mengenai kesihatan seksual dan pembentukan nilai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program ini bukan sekadar inisiatif khatan, malah turut bertujuan menyebarkan ilmu dan menyediakan kanak-kanak untuk menghadapi cabaran dunia digital masa kini.

Nancy menyempurnakan simbolik perasmian dengan menyiram air kepada pelajar.

“Golongan muda hari ini menghadapi dunia digital tanpa sempadan dan walaupun sebahagian kandungan itu bermanfaat, banyak pula yang menyesatkan dan berisiko.

“Satu kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menunjukkan bahawa remaja masih kurang pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, dan ada di antara mereka sudah terlibat dalam hubungan seksual seawal usia 13 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Advokasi Pekerti dan Sentuhan Kasih: Khatan Perdana, di Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik, hari ini.

Menurutnya, pendidikan seksual secara menyeluruh juga masih terhad dan digabungkan dengan norma budaya yang menganggap isu ini sebagai tabu, ramai anak muda tidak berpeluang membincangkannya secara terbuka.

Bagi menangani kekurangan ini, Nancy menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan kesihatan reproduktif bukan sahaja di sekolah dan universiti, tetapi juga di rumah dan dalam komuniti.

“Melalui inisiatif seperti Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) untuk Lelaki dan Modul Cakna Diri Lelaki, yang dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak, anak lelaki diajar mengenai isu penting.

“Ini termasuklah seperti isu seksualiti, kehamilan remaja, penderaan seksual, kesedaran gender, dan penyakit berjangkit,” jelasnya.

Katanya, program ini juga mengetengahkan inisiatif lain yang sedang dijalankan di bawah kementerian, seperti Program Advokasi KASIH di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang kini diperluas daripada sekolah ke 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara.

“Program ini menumpukan isu keselamatan kanak-kanak, pencegahan penderaan, dan ancaman dalam talian, serta telah menjangkau 337 sekolah pada tahun 2024 sahaja.

Beliau menambah bahawa kesedaran perlu dipertingkatkan terutama dalam situasi semasa, dengan kebangkitan program kecerdasan buatan (AI) yang boleh menimbulkan pelbagai cabaran baharu bagi kementerian, kerajaan, ibu bapa, dan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU