KUCHING: Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia diharap dapat menyelesaikan masalah ‘generasi hilang pembelajaran’ golongan B40 di institusi pengajian tinggi, kata Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.
Beliau juga berharap inisiatif tersebut dapat diperluaskan kepada pelajar sekolah bagi membantu golongan tersebut mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sekali gus mengurangkan beban ibu bapa.
“Dengan inisiatif ini, diharap dapat menyelesaikan masalah generasi hilang pembelajaran yang kini kian berterusan disebabkan kekurangan akses kepada peranti dan capaian Internet.
“Sudah tentu inisiatif yang bernilai sekitar RM450 juta ini akan memberi manfaat kepada lebih 600,000 pelajar daripada keluarga B40 dengan menyelesaikan masalah kekurangan akses terhadap peranti bagi tujuan mengikuti PdPR,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pengumuman Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping syarikat telekomunikasi turut menyumbang sekitar RM65 juta untuk membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 IPT.
Mengulas mengenai pemberian diskaun pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam bermula 1 November ini hingga 30 April 2022 katanya, ia dapat memupuk budaya membayar hutang dalam kalangan peminjam.
“Melalui kaedah ini, ia dapat memupuk budaya membayar hutang PTPTN dalam kalangan peminjam dan memastikan dana sentiasa berterusan untuk peminjam baharu pada masa akan datang,” katanya.
Dalam Bajet 2022, kerajaan memberi inisiatif diskaun 15 peratus ke atas baki hutang PTPTN untuk penyelesaian penuh pinjaman, manakala 12 peratus diskaun kepada peminjam yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus pinjaman dan 10 peratus diskaun kepada peminjam yang membayar melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
Fazzrudin menyifatkan secara keseluruhan bajet tersebut sebagai mesra rakyat dan peka kepada keperluan mendesak ketika melangkah ke fasa endemik Covid-19 dan kembali kepada norma sediakala.
“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan kepada Sarawak. “Peruntukan ini antaranya adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” ujarnya.
Fazzrudin turut berharap komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri ini berterusan dan lebih banyak peruntukkan dapat diberikan untuk projek-projek pembangunan pada masa depan.






