Perlukah sesi persekolahan ditangguh semula?

PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa sesi pembelajaran di sekolah negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berjalan seperti biasa pada 20 Januari ini ternyata mengundang kegusaran banyak pihak.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin keputusan tersebut dibuat kerana ramai ibu bapa yang risau anak-anak mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sempurna.
Katanya ia dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk anak-anak mengikuti pembelajaran dalam situasi sebenar di sekolah dan kesemua institusi pendidikan di bawah KPM akan dibuka mengikut takwim yang diumumkan pada 8 November lalu.
Sementara menurut Menteri Kanan Pendidikan Dr. Radzi Jidin, sesi pembelajaran secara bersemuka itu akan melibatkan semua murid prasekolah dan Tahun 1 hingga 6 di negeri PKPB dan PKPP.
Namun keputusan itu mula menjadi kerisauan kepada ibu bapa berikutan negara sedang mengalami lonjakan kes positif Covid-19 yang mencecah empat angka setiap hari.
Selain itu, Sarawak yang dikategorikan sebagai negeri PKPP kini sedang berdepan dengan banjir besar yang menambah kebimbangan masyarakat.
Justeru, banyak pihak meminta supaya KPM menimbang semula keputusan berkenaan kerana risau terhadap keselamatan anak masing-masing terutamanya yang masih sekolah rendah.
Kebimbangan golongan ibu bapa ini adalah wajar kerana murid sekolah rendah sukar memahami dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditambah bilangan murid yang ramai dengan kekurangan guru untuk mengawal situasi.
Selain masalah banjir yang sedang melanda Sarawak pada ketika ini sudah pasti melibatkan kerugian harta benda dan ibu bapa tentunya gusar memikirkan wang belanja untuk membeli kelengkapan sekolah serta yuran pendaftaran.
Sarawak turut mengalami lonjakan kes dengan jangkitan tiga angka berturut-turut serta Daerah Kuching, Miri dan Sibu. Malah, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan agar pembukaan sesi persekolahan itu dilakukan secara berperingkat.
Presidennya Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, peningkatan kes Covid-19 ketika ini selain keadaan beberapa negeri yang terjejas akibat banjir perlu diambil perhatian KPM.
Penulis berpendapat lebih wajar 20 Januari ini cuma memberi keutamaan kepada pelajar menduduki peperiksaan seperti Tingkatan Lima dan Enam kerana mereka perlukan pembelajaran bersemuka dengan guru termasuk bersiap sedia untuk peperiksaan yang dijangka pertengahan Februari hingga awal Mac.
Fasa kedua pembukaan melibatkan pelajar peringkat menengah rendah kerana perlu untuk mengawal penularan.
Sehubungan itu, lebih sesuai pembukaan peringkat kedua selepas Tahun Baharu Cina dan tempoh tersebut boleh digantikan dengan cuti pertengahan penggal.
Penundaan ini sudah pasti memberikan kelegaan kepada ibu bapa dan dalam masa yang sama meringankan sedikit beban kewangan tatkala memikirkan penyelesaian masalah ditimpa banjir.
Diharap kerajaan dan KPM dapat memberi perhatian serius kepada perkara ini dengan mengambil kira pandangan serta masalah semasa yang dihadapi rakyat.
Bagaimanapun dalam masa sama, ibu bapa dan semua pihak mesti terus mematuhi SOP serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi bagi mengekang penu aran Covid-19.
Ini kerana, jika tidak mengamalkan langkah berjaga-jaga kita akan tetap terdedah kepada jangkitannya tidak kira di mana berada kerana tidak terlihat melalui pandangan mata kasar, malah menyerang manusia tanpa mengira usia, pangkat, bangsa dan jantina.

Suara Sarawak