ASAJAYA: Permintaan terhadap haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan biri-biri menunjukkan peningkatan ketara khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha.

Pengusaha Al Hafiz Farm, Sulaiman Sitam 40, berkata dia juga turut merasai situasi itu apabila tempahan bagi kambing dan biri-biri diladang miliknya hampir penuh setakat ini.
Katanya, dia mula membuka tempahan untuk ibadah korban sejak penghujung April lalu dan tidak menyangka sambutan dalam kalangan pelanggan amat menggalakkan.
“Kini ladang saya mempunyai 10 ekor biri-biri dan 15 ekor kambing yang dipelihara secara kecil-kecilan, namun tetap mendapat perhatian pelanggan dari kawasan sekitar.


“Sejujurnya, ternakan saya ini masih belum dapat menampung sepenuhnya permintaan untuk akikah dan korban yang sangat tinggi dalam kalangan pelanggan lebih-lebih lagi tahun ini,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambahnya, jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu, sememangnya kali ini permintaan tinggi, sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat dengan ibadah korban serta sokongan terhadap penternak tempatan.
“Pelanggan utama saya terdiri daripada individu yang mahu melaksanakan ibadah korban secara persendirian dan akan diuruskan sendiri bersama-sama keluarga.
“Bagi harga, kambing dan biri-biri di ladang saya pula adalah antara RM1,000 hingga RM2,200. Ini juga bergantung kepada saiz serta baka, harga juga tidak berubah sama seperti tahun lalu,” ujarnya.
Sulaiman memulakan perniagaan penternakan di ladang yang terletak di Teluk Sabang, di sini pada 11 Januari 2023 dengan hanya menternak lima ekor biri-biri.
Lima bulan kemudian, beliau menambah tiga ekor lagi biri-biri jenis Blackbally Barbadose yang dibeli daripada penternak tempatan dan pada penghujung tahun tersebut, dia menambah dua ekor kambing Boer – baka pendaging bersaiz besar turut ditambah ke dalam ladangnya.
Dalam pada itu, Sulaiman memaklumkan bahawa ladang tersebut turut menawarkan perkhidmatan penghantaran (COD) kepada pembeli – kambing dihantar dalam keadaan hidup memandangkan pelanggan lebih gemar mengurus penyembelihan sendiri.
“Bagaimanapun, saya mengakui tidak semua jenis kambing mendapat permintaan yang sama.
“Kambing yang terlalu besar kurang mendapat sambutan. Kambing kampung yang bersaiz kecil pula lebih mudah untuk dijual,” jelasnya.
Selain isu saiz, menurut Sulaiman, faktor cuaca tidak menentu dan kos makanan ternakan juga menjadi antara cabaran besar dalam operasinya.
“Kalau cuaca terlalu panas atau sejuk, ia boleh menjejaskan kesihatan ternakan. Tambahan pula, harga makanan haiwan naik saban hari.
“Saya berharap agar kerajaan dapat memberikan lebih banyak bantuan kepada penternak kecil termasuk dalam bentuk pembiayaan bagi pembesaran ladang, kursus kesihatan ternakan dan sokongan promosi.
“Saya juga harap agar lebih ramai anak muda berani ceburi bidang ini. Permintaan semakin meningkat setiap tahun. Kalau kita serius, kita tidak perlu bergantung kepada bekalan luar,” jelasnya.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, orang ramai yang ingin mendapatkan biro-biri atau kambing khususnya di kawasan sekitar Asajaya boleh menghubungi Sulaiman di talian 013-7581528.



