ARTIKEL

KENANGAN… Fatimah merakam gambar bersama penerima Bantuan Perubatan pada Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Bantuan Perubatan Sarawak di sini, hari ini.

Permohonan Bantuan Perubatan meningkat sejak 2021

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sehingga Januari 2026, Sarawak telah memperuntukkan RM4.03 juta bagi Bantuan Perubatan, memberi manfaat kepada 191 kes di seluruh negeri dan meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan segera.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program yang diperkenalkan pada 2021 itu menunjukkan peningkatan permohonan yang ketara.

“Pada tahun pertama, sembilan kes direkodkan sebelum menurun kepada dua kes pada 2022 akibat pandemik COVID-19.

“Jumlah kes meningkat kepada 28 pada 2023, 61 pada 2024, 74 pada 2025, dan setakat ini 17 kes pada 2026,” katanya pada Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Bantuan Perubatan Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, peningkatan permohonan ini menunjukkan kesedaran masyarakat semakin tinggi.

“Kerjasama dengan hospital kerajaan dan pakar perubatan turut memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Bantuan ini dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak bagi menyediakan sokongan kewangan kepada individu serta keluarga kurang berkemampuan.

“Setiap permohonan diteliti secara profesional dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kerja Bantuan Perubatan yang bersidang setiap bulan bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam kelulusan,”ujarnya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, Bantuan Perubatan merangkumi pembiayaan peralatan perubatan.

“Ini termasuk alat rehabilitasi, kos sokongan nutrisi seperti susu dan ubat-ubatan, kos pembedahan dan implan serta pengangkutan dan penginapan.

“Program ini bertujuan meringankan beban kewangan golongan tidak berkemampuan serta mempromosikan kesejahteraan rakyat Sarawak dari segi kesihatan,”jelasnya.

Dalam pada itu, belia berkata syarat Bantuan Perubatan termasuk pemohon mestilah warganegara Malaysia dengan kad pengenalan berstatus ‘K’, menetap di Sarawak.

“Selain itu, pemohon perlu dirujuk oleh pakar atau pegawai perubatan kerajaan, tergolong dalam kumpulan B40 atau M40 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,020 sebulan, dan tidak menerima pembiayaan penuh daripada mana-mana sumber lain.

“Dana bantuan tidak bersifat bayaran balik, kecuali untuk tuntutan perjalanan dan penginapan.

Pemohon atau waris perlu mengisi borang Bantuan Perubatan dengan lengkap dan menghantarnya ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian berdekatan,”katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU