KUCHING: Perbincangan mengenai pemohonan peruntukan secara saksama yang dituntut oleh Ahli Parlimen Pembangkang akan diadakan pada 17 April depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata permohonan yang dikemukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dalam pertemuan mereka sebelum ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Seketariat Kerajaan Perpaduan.
“Mereka mengatakan mereka mahu peruntukan dan apa sahaja syarat itu terserah kepada kerajaan.
“Dan saya kata akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Seketariat Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan apa yang dihasrat oleh mereka,” katanya ketika ditemu bual media pada majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata tiada perjanjian dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pembangkang kepada wakil Perdana Menteri seperti yang dimaklumkan dalam pelbagai kenyataan mereka.
Malah, katanya, beliau mendapatkan pengesahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada terdapat wakil daripada pihaknya yang mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Pembangkang.
“Saya mengesahkan daripada Perdana Menteri tidak ada.
“Jadi kalau itulah apa yang mereka kemukakan, maka saya kata, bincanglah dengan kononnya wakil Perdana Menteri. Tidak perlu berbincang dengan saya lagi,” ujarnya.

