ARTIKEL

Len Talif Salleh

Permohonan program latihan Unreal Engine for Games 2026 dibuka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) secara rasmi membuka permohonan bagi Program Latihan Unreal Engine for Games 2026 yang dinanti-nantikan sekali gus memberi peluang kepada bakat kreatif tempatan untuk meningkatkan kemahiran dalam pembangunan permainan digital.

Kejayaan program tersebut merupakan kesinambungan daripada program perintis pada 2024 dan siri grafik gerakan (motion graphics) pada 2025. Program intensif selama lima hari itu memberi tumpuan khusus kepada mekanik teras pembangunan permainan, prototaip pantas dan reka bentuk interaktif.

Program yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 14 Ogos depan di Perkampungan Digital TEGAS itu merupakan hasil kerjasama strategik antara TEGAS dengan EFXCO Academy yang baru menerima pengiktirafan sebagai Pusat Latihan Bertauliah Unreal bagi 2026.

Modul strategik ini bertujuan meningkatkan kemahiran 20 peserta kreatif terpilih dari Sarawak bagi mengubah mereka daripada sekadar pengguna kandungan dan animator visual kepada pencipta teknologi interaktif masa nyata.

Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam memacu inovasi industri kreatif di Sarawak.

“Dengan memupuk kemahiran Unreal Engine yang maju dan selaras dengan piawaian global, kami bukan sahaja menyediakan bakat tempatan untuk mengisi peranan teknikal berpendapatan tinggi, malah memperkasakan mereka untuk menjadi pencipta pekerjaan masa hadapan yang mampu menubuhkan studio tempatan dan membangunkan harta intelek (IP) sendiri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu, program berkenaan turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) khususnya melalui penekanan terhadap pendidikan, pembangunan modal insan dan inovasi digital.

“Melalui inisiatif ini, Perkampungan Digital TEGAS (TDV) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab latihan teknologi interaktif serantau dengan menyediakan laluan praktikal kepada bakat kreatif tempatan untuk beralih daripada pengguna kandungan digital kepada pencipta teknologi dan majikan yang mampu berdikari dalam industri permainan global,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EFXCO Academy, Hussin Khan memaklumkan pihaknya amat berbesar hati dapat meneruskan kerjasama rapat dengan TEGAS menerusi inisiatif berkenaan.

“Kami amat teruja untuk meneruskan kerjasama erat dengan TEGAS bagi menjayakan inisiatif ini. Memandangkan EFXCO Academy telah memperoleh status rasmi sebagai Pusat Latihan Bertauliah Unreal bagi 2026, kami bersedia sepenuhnya untuk membawa penyampaian latihan bertaraf dunia ke Kuching.

“Mekanik permainan dan penceritaan masa nyata merupakan elemen penting dalam industri digital imersif masa kini. Kem latihan berasaskan amali ini menggunakan skrip visual Blueprint yang membolehkan bakat berpotensi merealisasikan idea kompleks tanpa perlu menulis kod pengaturcaraan,” jelasnya.

Kurikulum program berkenaan turut memanfaatkan keupayaan berprestasi tinggi Unreal Engine 5, termasuk reka bentuk aras interaktif melalui integrasi aset Fab, pembangunan landskap, Player Controller tersuai, kesan visual menggunakan rangka kerja Niagara, sistem kecerdasan buatan (AI) untuk rondaan pelbagai keadaan, susun atur antara muka pengguna (Widgets) yang dinamik serta pengesanan audio.

Daripada memberi penekanan kepada teori atau cabaran pengaturcaraan yang rumit, peserta akan menghabiskan hari terakhir program dengan menambah baik, menyahpepijat dan membangunkan sebuah projek permainan seram 3D yang boleh dimainkan sepenuhnya.

Penyertaan program ini adalah terhad kepada kumpulan calon terpilih dengan pertimbangan khas diberikan kepada individu daripada latar belakang kurang mendapat peluang atau yang berdepan kesukaran kewangan.

Setelah berjaya menamatkan program, peserta akan menerima sijil penyertaan rasmi yang diiktiraf oleh komuniti global Unreal Engine.

Untuk maklumat lanjut, perkembangan terkini dan pendaftaran, sila layari laman sesawang EFXCO Academy di https://efxcoacademy.com/unreal-engine-for-games.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU