ARTIKEL

Gerawat (empat kiri) merakam kenangan bersama yang lain semasa acara Lou Sang dalam majlis tersebut. - UKAS

Perpaduan kaum sentiasa diperkasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARAM: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata kerajaan Sarawak kini sudah memulakan inisiatif dan program untuk memupuk perpaduan.

“Contohnya, kerajaan Sarawak mula memberi geran tahunan sebanyak RM10 juta untuk membantu sekolah-sekolah Cina di Sarawak.

“Seterusnya, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) keluaran sekolah-sekolah Cina turut diiktiraf dan diterima oleh kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Poyut-Lubok Nibong di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, kerajaan Sarawak turut menerima pelajar dari sekolah Cina untuk masuk ke beberapa institusi pengajian tinggi di negeri ini.

“Ini melibatkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.

“Di samping itu, sijil UEC turut diterima oleh kerajaan Sarawak bagi permohonan jawatan atau pekerjaan dalam negeri Sarawak,” jelasnya.

Sehubungan itu, Gerawat memberitahu kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mempertahankan nilai-nilai murni, cara hidup dan budaya di Sarawak iaitu kesatuan dan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Kita tidak mahu budaya negatif dari luar Sarawak mempengaruhi pemikiran rakyat Sarawak dan masuk ke negeri ini.

“Contohnya, pelampau agama, kaum dan juga budaya politik yang mengutamakan kepentingan sendiri serta membelakangkan kepentingan rakyat,” tambahnya.

Pada majlis itu juga, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi menghargai usaha Jawatankuasa Pengelola Majlis Makan Malam tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU