BINTULU: Perpaduan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri, kata Ketua Bahagian Parti Demokratik Progresif (PDP) N.69 Kemena, Datuk Ukar Kelayang.
Beliau berkata, sambutan Hari Gawai Dayak yang diraikan bersama pelbagai kaum di Sarawak membuktikan keharmonian serta kesepaduan masyarakat negeri ini yang terus kukuh.
“Gawai bukan lagi milik masyarakat Dayak semata-mata, tetapi telah menjadi jambatan budaya yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Kita melihat masyarakat Melayu, Cina dan etnik lain duduk semeja, berkongsi hidangan serta bergelak tawa bersama, sekali gus mencerminkan semangat Segulai Sejalai yang menjadi identiti rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pra Gawai MOTAC @ Komuniti N.69 Kemena yang diadakan di sebuah restoran terkenal di sini, malam tadi.
Ujar beliau lagi, pembangunan fizikal semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, kemajuan tanpa kesatuan masyarakat hanya akan menjadi rapuh dan tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus mengamalkan sikap saling menghormati, menyokong antara satu sama lain serta mengekalkan semangat gotong-royong dalam kehidupan seharian.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya menghargai keharmonian yang dikecapi hari ini dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif, khususnya di media sosial yang boleh menggugat perpaduan.
“Anak muda perlu menjadi pewaris keharmonian ini dan berperanan sebagai agen perubahan yang membawa kebaikan kepada masyarakat,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kemajuan pesat Sarawak yang dicapai menerusi pelbagai inisiatif pembangunan oleh kerajaan negeri.
Justeru, beliau berharap rakyat, khususnya anak tempatan, tidak hanya menjadi pemerhati, sebaliknya tampil sebagai pelaksana dan terlibat secara aktif dalam arus pembangunan tersebut.
“Banyak peluang telah disediakan, terutama dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
“Kita mahu anak Sarawak menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau turut berharap semangat Gawai akan terus menyatukan masyarakat dalam suasana aman dan sejahtera.
Kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing bersama 3,000 masyarakat sekitar kawasan Kemena memeriahkan suasana dengan pengisian pelbagai aktiviti kebudayaan, nyanyian dan cabutan bertuah.
KAPYSEN:
1:
2: Ukar menyampaikan cenderahati kepada Tiong.

