MUKAH: Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang agama perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar menjadi ungkapan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Menurutnya, Program Friendly Houses of Worship (Friendly HOW) anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin agama, rumah ibadat dan komuniti setempat.
“Program ini bukan sekadar menghimpunkan wakil pelbagai agama dalam satu majlis, tetapi turut membuka ruang untuk mereka berkenalan, bertukar pandangan dan membina hubungan lebih erat.
“Kita berbeza agama, budaya dan adat, tetapi kita boleh duduk satu meja, makan bersama-sama dan bekerjasama.
“Apabila ada jiran kita yang susah, kita tidak bertanya dahulu agamanya, sebaliknya kita tanya perkara yang boleh dibantu,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, kehidupan masyarakat di Mukah dan Balingian sememangnya mencerminkan semangat berkenaan apabila masyarakat berbeza latar belakang hidup berjiran, bersekolah bersama-sama serta saling menghadiri majlis perkahwinan, kematian dan kegiatan komuniti.
Ujarnya, perpaduan yang paling kuat bukan bermula di atas pentas, sebaliknya bermula di kampung, di rumah, di kedai kopi dan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, Yakub turut menggesa masyarakat supaya mengambil berat dengan sebarang masalah yang dihadapi komuniti tanpa melihat perbezaan agama, selain bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, Sarawak boleh menjadi contoh kepada Malaysia dalam membina keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Masyarakat Sarawak sering mengunjungi ketika perayaan, menghadiri majlis perkahwinan dan kematian, tinggal berjiran serta bekerjasama dalam pelbagai aktiviti komuniti.
“Kekuatan Sarawak bukan kerana kita semuanya sama tetapi apabila kita memilih untuk hidup sebagai satu keluarga walaupun berbeza agama, bangsa, bahasa dan budaya,” katanya.
Menyentuh mengenai program, katanya, konsep Friendly HOW perlu dilihat lebih luas daripada sekadar toleransi beragama kerana masyarakat perlu saling mengenali, memahami dan menghormati perbezaan bagi mengukuhkan persahabatan serta perpaduan.






