KUCHING: Persatuan sukan di negeri ini disaran lebih efektif dalam menganjurkan kejohanan pelbagai peringkat.
Tuntutan tersebut dilihat sebagai landasan terbaik memperkasa pembangunan sukan sedia ada serta mempersiapkan diri membentuk dan melatih jawatankuasa bagi mengendali kejohanan lebih besar, termasuk di peringkat dunia.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan, Sarawak ketika ini begitu dikenali dalam peta dunia sukan rentetan keupayaan sebagai penganjur mahupun menjadi tuan rumah.
“Kementerian kita memang menggalak persatuan sukan untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan, bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa.
“Pendekatan seperti ini akan dapat mendedahkan mereka terlibat tentang tatacara pengurusan dan sebagainya,” ujar Datuk Gerald.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Tenis Remaja Dunia Pusingan Kelayakan Akhir Asia Ocenia Lelaki& Wanita Bawah 14 Tahun di gelanggang tenis SLTA, sebentar tadi.
Beliau kemudian merujuk kepada peranan yang dilakukan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) yang berjaya menganjurkan kejohanan pelbagai peringkat selama ini.
Gerald mengakui kejayaan SLTA mengelola kejohanan bertaraf dunia, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan industri pelancongan Sarawak.

